Sebarkanlah salam sesama islam...

Wednesday, October 5, 2011

Setiap Satu Detik Amat Berharga.

Setiap Satu Detik Amat Berharga
Duduk dua jam di depan televisyen tidak terasa jika dibandingkan duduk sebentar membaca dua muka surat al-Quran! Ya! Bukan main berat rasanya hendak menghabiskan ayat-ayat al-Quran yang tersekat-sekat di lidah. Jika tiba waktu sembahyang, tiba-tiba datang pula rancangan televisyan yang diminati. Alangkah beratnya percaturan untuk memilih. Pembaziran masa sering terjadi pada semua peringkat usia dan latar belakang pekerjaan, dari suri rumah, kanak-kanak dan remaja, para pekerja sampai ke peringkat warga tua. Pernahkah anda merasa bosan pada suatu hari? Semua tugas dan tanggungjawab di pejabat tidak selesai dan terpaksa ditunda esok dan esok entah sampai bila. Ada pula seorang suri rumah yang suka memanjakan diri, duduk berjam-jam membelek-belek majalah yang telah berkali-kali dibaca, shopping tanpa ada keperluan yang benar-benar penting, bersembang dengan kawan sampai terlebih masa, akhirnya kerja-kerja mengurus rumahtangga tak dapat diselesaikan apatah lagi hendak mendidik anak-anak. Sementara ada juga di kalangan warga tua yang apabila bersara terus berehat sepanjang masa, makan dan tidur tidak dapat dikawal lagi, ditambah dengan gejala kemurungan kerana rindu mengenangkan anak-anak yang jauh akhirnya datang penyakit tiba-tiba. Begitulah kehidupan manusia. Masing-masing memilih di antara dua kenyataan, hidup dengan cara yang positif atau sebaliknya.
Menurut teori psikologis Dr. Norman Vincent Peale, pakar pemikiran positif yang terkenal berpendapat, “Tugas utama manusia bukanlah menanggung kehidupan tetapi menguasai kehidupan.” Ada persamaan orientasi pemikiran antara beliau dengan seorang sahabat Rasulullah SAW, Abdullah bin Mas’ud, apabila beliau berkata: “Belum pernah aku menyesal, melainkan penyesalanku ketika matahari terbenam, semakin singkat umurku sedangkan amalanku tidak bertambah.” Peribadi seperti ini tidak akan menyerah dengan kehidupan yang dijalani bahkan ia berusaha untuk menguasai kehidupan dengan bersemangat. Orang beriman sentiasa prihatin dengan masa yang berlalu tanpa kerja yang berfaedah untuk dunia dan akhiratnya. Kerana mereka sedar bahawa dunia ini tempat untuk berjuang, di sini kita menanam esok di akhirat tinggal menuai. Satu detik yang dihabiskan untuk membaca Subhanallah cukup untuk memberatkan timbangan amal salih di akhirat. Dan mungkin kerana satu detik saja yang digunakan untuk maksiat akan menjadi penyesalan ke atas timbangan hisab nanti. Sepertimana keadaan orang-orang yang rugi dalam firman Allah SWT: “Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami (dari neraka) supaya kami dapat beramal salih, bukan seperti apa yang kami amalkan dahulu.” (Surah Fathir Ayat 37)
Pembahagian masa yang efektif dan kesungguhan anda mematuhinya menjadi faktor yang amat penting memperoleh kejayaan dunia dan akhirat. Seorang mukmin yang hidup pada zaman moden ini terpaksa bersaing dengan manusia-manusia hamba wang yang mempunyai prinsip ‘time is money’. Alangkah ironisnya jika kemenangan dan kemajuan seringkali berpihak kepada orang-orang kafir sementara kaum muslimin masih dibuai mimpi yang panjang. Kurangnya motivasi tentang budaya ilmu dan menguruskan masa menjadi penyumbang kelemahan umat. Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya “al-Waqt fi hayal al-muslim” (Detik-detik Masa Dalam Kehidupan Seorang Muslim) menyatakan keprihatinannya tentang budaya kerja di negeri Mesir dibandingkan dengan rakyat Eropah. Beliau mengungkapkan satu kajian yang dibuat bahawa orang Eropah bekerja tidak kurang 7 jam, bahkan lebih setiap hari sedangkan rakyat Mesir bekerja tidak melebihi 30 minit sehari. Mengapa umat Islam rela terhina dengan kemalasan dan terlena dengan mimpi panjang yang melemahkan akal, ketika orang-orang kafir menguasai daratan dan lautan bahkan sampai menembus cakerawala.

Hendaklah setiap mukmin itu mengisi masanya dengan tiga aktiviti sebagai berikut:

Merancang Kerja.
Setiap hari yang dilalui seorang mukmin adalah simpanan baginya. Kerana waktu sesaat akan menjadi penyumbang pada ‘buku laporan kerja’ yang berada di bawah pemegang kuasa dua malaikat, Raqib dan ‘Atid. Segala kerja baik akan direkodkan dan tidak terkecuali dengan kerja kejahatan pasti akan direkodkan. Kerja baik merupakan ibadat jika diniatkan kerana mengharap reda Allah SWT. Tugas memakmurkan bumi adalah ibadat yang menjanjikan imbalan. 


Seorang mukmin sejati tidak boleh duduk diam melihat kemiskinan dan kebodohan melanda umat, kerana dia dilahirkan untuk menjadi khalifatullah fil Ardh. Bahkan al-Quran mengajar kita untuk merancang masa depan dan bersungguh-sungguh bekerja agar dapat dilihat hasilnya di akhirat nanti sebagai amal salih yang dibanggakan oleh Allah, Rasul-Nya dan orang-orang mukmin. Firman Allah SWT: ”Dan katakanlah, bekerjalah kamu nescaya Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang mukmin akan menyaksikan pekerjaanmu itu dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Maha Mengetahui yang ghaib dan nyata lalu diberitakannya kepada kamu apa-apa yang telah kamu kerjakan.” (Surah al-Taubah Ayat 105)
Kerja yang dilakukan hendaklah memberi manfaat kepada dunia dan akhirat seseorang. Kerana sebenarnya kita bekerja untuk Allah SWT. Hidup ini adalah untuk memastikan eksistensi diri kita berada pada tahap paling mulia, berjaya dan diredai Allah SWT. Tentu saja semua itu dimiliki bukan dengan cara duduk berangan yang tak sudah-sudah.
Mengurus Diri.
Mukmin yang amanah terhadap masa cekap menguruskan dirinya. Jika kita hendak merancang masa dengan efektif maka kebijaksanaan mengenal diri dan mengawalnya adalah kunci kejayaan bagi perancangan yang dibuat. Kenali diri anda dan cuba terokai nilai-nilai positif yang ada padanya dan serlahkanlah ia untuk kemajuan anda. Demikian juga dengan nilai-nilai negatif agar anda boleh mengawalnya dengan baik. Ilmu mengenal potensi diri mengajar kita sentiasa bermuhasabah terhadap apa yang baik dan buruk yang ada pada diri kita untuk menjamin kejayaan.

Imam al-Ghazali Rahimahullah dalam Ihya’ ‘Ulumuddin mengajar kita mengawal tujuh anggota badan yang zahir iaitu; mata, telinga, mulut, tangan, kaki, perut dan kemaluan agar mereka tunduk kepada nilai-nilai yang positif. Begitu juga perhatian beliau kepada pentingnya membersihkan hati yang merupakan anggota badan yang esensial dan maha hebat pengaruhnya kepada keperibadian seseorang. Pada diri Rasulullah SAW berkumpulnya nilai-nilai teladan terbaik, seorang manusia unggul yang mencerminkan kesempurnaan kerana baginda diasuh secara langsung oleh Rabbnya. Sebagai mukmin kita diwajibkan mengambil pengajaran daripada sahsiah baginda SAW untuk diamalkan dalam kehidupan kita.
Memberi Manfaat Kepada Orang Lain.
Hidup kita akan menjadi lebih bererti jika perbuatan yang dilakukan memberi kebahagiaan kepada orang lain. Disebabkan seorang surirumah yang bertanggung jawab, berhati mulia, penuh cinta dan kasih sayang kepada suami dan anak-anaknya, maka kehadiran dirinya begitu penting untuk memastikan kebahagiaan dan keselamatan keluarga itu berpanjangan. Disebabkan keikhlasan dan dedikasi seorang guru, maka masa depan generasi umat ini menjadi begitu cemerlang. Kerana anda pekerja yang amanah, bangsa dan negara ini begitu bergantung kepada pertolongan anda bagi menjayakannya. Biarlah hidup ini berjalan dengan potensi setiap orang yang dicurahkan untuk kesejahteraan bersama. Sepertimana sabda Rasulullah SAW: Barangsiapa yang memudahkan urusan orang yang mengalami kesulitan, maka Allah akan memudahkan urusannya baik di dunia maupun di akhirat. Barangsiapa yang menutup keaiban seorang muslim, Allah pasti akan menutupi aibnya di dunia dan akhirat. Allah sentiasa memberi pertolongan kepada hamba-Nya selama ia menolong saudaranya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Seorang yang membuat perancangan masa adakalanya berputus asa apabila terlepas daripada menepati apa-apa yang sudah dirancang. Jangan bersikap pesimis jika kita gagal, cepatlah kembali bangkit sambil beristighfar dan berusaha bersungguh-sungguh membayar kecuaian dengan kerja yang berfaedah. 

Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya selepas kesulitan itu ada kemudahan. Maka apabila kamu telah selesai (dari suatu urusan) kerjakanlah dengan bersungguh-sungguh urusan yang lain. Dan hanya kepada Tuhan-Mu hendaklah kamu berharap.” (Surah al-Insyirah Ayat 6,7 dan 8)

 Sumber: http://drjuanda.com/?p=296


No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

Ust. M. Arifin Ilham.

ikimfm on-line